Kereta terpakai merujuk kepada kereta yang dijual oleh pemilik
kenderaan selepas menggunakannya untuk satu jangka masa. Harga kereta
terpakai biasanya adalah 20-30% lebih murah daripada harga pasaran.
Terdapat sesetengah kereta terpakai yang berada dalam keadaan yang
baik dan mempunyai kadar perbatuan yang rendah. Ada juga sesetengah yang
masih dalam jaminan. Sekiranya anda bertuah, anda mungkin mendapat
kereta seperti ini kerana anda sebenarnya membayar kurang untuk kualiti
dan perkhidmatan yang anda terima.
Namun, kereta terpakai secara umumnya tidak sesuai untuk semua
pengguna. Terdapat kebaikan dan keburukan dalam membeli kereta terpakai.
Hanya pengguna yang bijak membuat penilaian dan pemilihan harus membeli
kereta terpakai untuk mengelakkan risiko kerugian.
Mencari kereta terpakai -
Sumber
|
Kebaikan
|
Keburukan
|
Risiko
|
Lelong
|
Murah
|
Tidak boleh periksa kenderaan
|
Tinggi
|
Pemilik kenderaan
(informasi didapati dari papan notis dan suratkhabar bahagian klassified)
|
Lebih murah serta boleh mengetahui sedikit tentang bagaimana kenderaan dijaga sebelum ini.
|
Tiada jaminan diberi
|
Sederhana
|
Kedai kereta terpakai
|
Mempunyai jaminan
|
Lebih mahal
|
Rendah
|
Pemeriksaan yang penting sebelum membeli kereta terpakai
Adalah sangat penting untuk pandu uji (test-drive) kereta terpakai
sebelum membelinya. Ini kerana ia merupakan cara yang paling efektif
untuk mengetahui keadaan kereta tersebut sebelum membelinya. Sekiranya
anda tidak berpuas hati dengan keadaan kereta itu, anda masih mempunyai
peluang untuk menolak kereta tersebut. Pastikan anda memilih jalan yang
mempunyai bonggol jalan kerana kebanyakan penjual kereta akan memilih
jalan yang agak licin sahaja. Beri perhatian kepada sebarang bunyi yang
dikeluarkan oleh kereta dan cuba buat brek kecemasan. Berikut adalah
beberapa perkara yang anda harus berikan perhatian:
- Periksa pedal kereta sekiranya ia masih dalam keadaan yang
baik. Sekiranya pedal brek haus, ini bermaksud ia telah banyak digunakan
di bandar dan sekiranya pedal minyak telah haus, maka ia menunjukkan
kereta tersebut telah banyak digunakan di lebuh raya.
- Lihat keseluruhan badan kenderaan sekiranya terdapat cat yang
bertompok serta tidak seragam. Ini menunjukkan kereta tersebut telah
menjalani pembaikpulihan (repair) selepas satu kemalangan yang teruk.
- Periksa sekiranya terdapat minyak yang bocor di bawah kereta. Ini menunjukkan motor kereta tersebut mungkin mengalami masalah.
- Paip ekzos harus diperiksa jika telah berkarat. Jika paip ekzos
ini bocor, ia akan berwarna hitam. Maka pastikan paip ekzos tiada karat
dan tidak berwarna hitam.
- Lihat odometer dalam kereta untuk membaca jumlah perbatuan.
Perbatuan merupakan jumlah kilometer yang telah dipandu dengan kereta
tersebut. Namun, tidak ada masalah jika perbatuannya tinggi jika kereta
dijaga dengan baik.
- Cuba lihat wayar dan paip sambungan dalam bonet kereta. Pastikan
ia tidak berselirat kerana ini menunjukkan yang anda mungkin perlu
belanjakan wang untuk membaikinya dalam masa yang terdekat.
- Periksa tayar sekiranya ia haus atau terdapat rekahan. Tayar
yang kehausannya tidak seimbang menunjukkan penjajaran (alignment)
kereta tersebut tidak dibuat dengan baik.
- Getah pada pintu kereta harus diperiksa supaya berada dalam
keadaan yang baik. Cuba buka dan tutup semua pintu kereta tersebut
beberapa kali dan pastikan tingkap, terutamanya yang menggunakan kuasa
automatik, serta kunci kereta boleh berfungsi dengan sempurna.
- Buat sedikit penyelidikan tentang kecekapan penggunaan petrol
oleh kereta tersebut. Sesetengah kenderaan mempunyai kecekapan
penggunaan petrol yang rendah.
- Dapatkan nombor pengenalan kenderaan dan buat pemeriksaan dengan
JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan). Anda juga boleh periksa sekiranya
terdapat saman untuk kenderaan tersebut.
Anda harus selalu ingat bahawa jangan sesekali buat sebarang
pembayaran tanpa melihat geran kereta untuk mengelakkan diri dari
penipuan. Anda juga harus sedar bahawa anda mempunyai pilihan untuk
menguruskan pinjaman bank anda sendiri. Walaupun ia mengambil masa yang
lebih lama, namun ia menjanjikan penjimatan wang anda berbanding dengan
berurusan dengan wakil jualan. Kos-kos lain yang perlu anda tanggung
ketika membeli kereta terpakai termasuklah bayaran untuk proses
penukaran hak milik, insurans dan pemeriksaan PUSPAKOM. |
No comments:
Post a Comment