GOOD LIFE

Total Pageviews

TRYING TO LEARN ABOUT BLOG

Followers

Popular Posts

Thursday, October 11, 2012

BERI MELEBIHI DARIPADA YANG DIBAYAR

                   Untuk mendapatkan kejayaan anda seharusnya memberikan lebih perkhidmatan daripada jumlah yang dibayar kepada anda. Dengan melakukan ini maka anda akan mendapat lebih banyak peluang dan ganjaran pada masa hadapan.

Tuesday, August 14, 2012

Jihad Ekonomi

Jihad Ekonomi
    Sesungguhnya mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad pada Jalan Allah dengan harta dan jiwa adalah golongan yang memperolehi kejayaan yang terbesar ~ sekaligus menegaskan kayu ukur sesuatu kejayaan. Ramai yang telah merasakan berjaya ; namun sesungguhnya mereka tidak berjaya. Mereka tertipu dengan nilai-nilai yang salah. Kerana itu para mussafirin menyimpulkan bahawa ayat-ayat ini menunjukkan betapa jihad dan iman lebih utama di sisi Allah berbanding dengan amal-amal kebajikan lain kerana ia mengorbankan harta dan jiwa demi mendaulatkan ajaran al-Quran. Seterusnya, ada di antara umat Islam telah sekian lama berjuang di jalan jihad yang pelbagai seperti jihad ilmu, jihad harta benda dan jihad jiwa raga. Walaupun demikian prioritinya mungkin berubah-ubah dari waktu ke waktu. Dalam konteks Malaysia sekarang, yang dikendaki barangkali bukannya jihad secara bersenjata. Jihad yang lebih utama mungkin jihad yang lain seperti jihad ekonomi, jihad harta benda demi perjuangan agama. Di dalam sirah Rasulullah S.A.W pun, selain daripada mempertaruhkan jiwa raga, umat Islam turut berhabis-habisan dengan harta benda. Dan itu dilakukan sesudah membuat pilihan yang tepat bahawa mereka mengutamakan iman dan jihad berbanding dengan kenikmatan dan keseronokan. Jadi bila tiba saatnya mereka dipanggil untuk berkorban, mereka tidak lagi keberatan.

    Ada di antara para sahabat Rasulullah S.A.W. yang berjuang di jalan ALLAH itu yang mempersenjatai dan membiayai diri sendiri ~ suatu bentuk jihad dengan harta benda. Disamping membiayai diri sendiri, para sahabat Radiallahu 'anhum, turut membiayai rakan-rakan lain yang berjuang dan yang terdesak. Kini, barangkali umat Islam sudah sampai di suatu saat dan keadaan dimana para pejuangnya perlu membiayai diri sendiri dan rakan-rakan. Tetapi perakuan ini hanya akan berlaku setelah umat Islam terlebih dahulu membuat keputusan sama ada untuk beriman dan berjihad di jalan Allah ~ memperjuangkan amar ma'ruf nahimungkar. Jadi, jika tiba saatnya untuk menyahut panggilan perjuangan, maka tiada alasan lagi untuk para pejuang mengelak diri.

    Barangkali sesuai dirakamkan kisah Abu Talhah r.a ketika membaca surah at-Tawbah, ayat ke-41, yang mafhumnya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah) (baik kamu mempunyai persediaan) dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan dengan berbagai- bagai tanggungjawab), dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu adalah paling baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya. Ketika itu Abu Talhah sudah sangat tua. Namun beliau masih terasa terpanggil untuk berjihad di medan perang. Bagi beliau ayat ini tidak mengecualikan sesiapa untuk pergi berjuang. Lalu disuruh anak-anaknya melakukan persediaan untuk beliau berangkat ke medan perang. Anak-anaknya terkejut lantas berkata, …semoga Allah mengasihani ayahanda yang dahulunya pernah berjuang bersama Rasulullah di sepanjang hayat Rasulullah sehingga Rasulullah wafat. Kemudian dia sambung ikut berjuang bersama Abu Bakar wafat. Dia sambung lagi berjuang bersama Umar Al-Kattab sehinggalah Umar wafat. Cukuplah, ayahanda! Kamilah yang seharusnya berjuang bagi pihak ayah.

    Namun Abu Talhah tetap turut serta di dalam ekspedisi perang. Sayangnya, beliau meninggal dalam kapal perang setelah belayar. Di sepanjang perjalanan itu, angkatan perang tersebut tidak menjumpai pulau. Jadi jenazah beliau dikebumikan sembilan hari kemudiannya setelah menemui pulau. Namun selama 9 hari itu, mayatnya tidak mereput, bahkan tidak berubah sama sekali. Semangat jihadnya utuh dan kukuh sehingga maut menjemput ke alam barzakh!.

    Masalah umat Islam sekarang ini bukan lagi masalah penjajahan bentuk lama tetapi penjajahan bentuk baru seperti penjajahan ekonomi. Malah dikatakan di dalam abad ke-21 ini, perangnya adalah perang ekonomi. Dan dunia sekarang sememangnya sedang berperang. Umpamanya proses globalisasi - suatu proses yang banyak menjerumus negara-negara Islam kecil ke dalam perjuangan pergantungan. Dalam proses globalisasi ini, umat Islam tidak di layani sebagai peserta tetapi lebih dijadikan mangsa. Kita diletakkan di dalam suatu keadaan dimana kita terpaksa berhutang, segala-galanya termasuk dasar-dasar negara akan ditentukan oleh mereka yang memberi hutang. Disini terbuktilah benarnya doa yang sering dibaca untuk berlindung kepada Allah S.W.T. dari bebanan hutang yang di luar kemampuan dan akhirnya dikuasai. Orang yang berhutang itu, siangnya merasa hina dan malamnya tidak tidur lena.

Zakat KWSP dan Hukum Dividen KWSP

Zakat KWSP dan Hukum Dividen KWSP

Salam,

Setelah saya post berkaitan dengan perkara-perkara yang boleh dibuat dengan duit KWSP, baru saya perasan yang tiada lagi penjelasan dibuat mengenai apakah tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebelum kita berbelanja dan melabur menggunakan duit tersebut.

Tanggungjawab tersebut ialah berkaitan dengan zakat dan pembersihan dividen KWSP. Kedua-dua ini adalah tanggungjawab agama yang sangat penting dan tidak boleh kita abaikan. Jika tidak terimalah akibatnya di akhirat nanti kerana melanggar hukum Allah swt.

Zakat KWSP

Seperti yang kita sedia maklum, majoriti daripada institusi kewangan tidak menunaikan zakat bagi pihak pendeposit terhadap simpanan yang dilakukan oleh pendeposit tersebut. KWSP tergolong di dalam kelompok tersebut. Oleh itu menjadi tanggungjawab pendeposit untuk menunaikan zakat simpanannya sendiri.


Tapi bagaimana kita nak tunaikan zakat tersebut sedangkan kita tidak berhak sepenuhnya ke atas duit tersebut? Sekiranya kita masih belum mengeluarkan keseluruhan duit KWSP tersebut, maka kita tidak wajib membayar zakat. Ini kerana duit itu belum sepenuhnya menjadi milik kita. Dalam kes pegawai kerajaan yang sudah boleh mengeluarkan kesemua wang KWSP kerana sudah menerima Pemberian Taraf Berpencen (PTB), maka beliau wajib mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% sebaik sahaja menerima wang tersebut. Penjelasan lanjut mengenai hal tersebut bolehlah dirujuk di link berikut.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/01/zakat-kwsp.html

Hukum Dividen KWSP

Seperti yang kita sedia maklum, setiap institusi kewangan akan menggunakan wang simpanan pendeposit untuk dilaburkan bagi memastikan wang tersebut produktif dan dapat memberikan pulangan. Sama juga halnya dengan KWSP yang mempunyai dana simpanan pekerja yang sangat besar iaitu sekitar RM 444.5 bilion. Dengan jumlah wang yang sebegini besar KWSP perlu mencari instrumen-instrumen pelaburan yang banyak bagi mempelbagaikan (diversify) pelaburan. Sudah tentu kalau kita diberi pilihan pastilah kita mahukan wang kita dilaburkan ke dalam instrumen-instrumen pelaburan yang patuh syariah. Tapi hakikatnya perkara ini bukan senang untuk dilakukan.

Sememangnya diakui pada ketika ini semakin banyak syarikat yang diiktiraf sebagai patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Syariah Advisory Council. Namun tidak semua syarikat-syarikat ini bersesuaian dengan polisi KWSP yang mahu menjamin wang pendeposit daripada kerugian. Oleh itu hanya syarikat-syarikat yang berprofil tinggi, berkredibiliti dan prestasi masa lampaunya bagus sahaja yang akan dipilih. Maka di sini berlakulah pemilihan syarikat-syarikat yang tidak patuh syariah sebagai tempat untuk dilaburkan wang tersebut. Antaranya institusi-institusi kewangan konvensional yang tidak patuh syariah, pinjaman-pinjaman dalam bentuk bon dengan riba, fixed deposit dan lain-lain lagi. Sila rujuk surat daripada KWSP kepada PPIM di bawah.




Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk membersihkan wang dividen yang diperolehi hasil daripada pelaburan tersebut. Tapi tahukah kita akan peratusan dividen yang tidak bersih tersebut? Hakikatnya hanya KWSP sahaja yang tahu, dan perkara ini tidak didedahkan kepada orang awam. Ini adalah satu perkara yang menyedihkan kerana kita sering mencanangkan yang negara Malaysia adalah negara Islam. Diharap pihak KWSP boleh memperbaiki hal ini. Dan tentu yang lebih baik ialah dengan memastikan pelaburannya 100% patuh syariah walaupun agak sukar untuk dilakukan.

Jadi apa yang perlu kita buat, ialah dengan menolak hanya 50% daripada wang dividen yang kita terima untuk tujuan tersebut. Ini tidak susah kerana di dalam penyata yang diperolehi bila kita mengeluarkan duit KWSP, telah dinyatakan berapakah dividen yang telah kita perolehi. Dan ternyata jumlahnya tidaklah banyak sangat kerana dividen tahunan KWSP hanya sekitar 4-5% sahaja.  Lebih baik kita lakukannya daripada kita terpaksa menanggung dosa akibat memakan harta yang haram. Duit tersebut bolehlah kita salurkan kepada fakir miskin. Untuk maklumat lanjut sila rujuk link berikut.

http://www.al-ahkam.net/home/index.php?option=com_kunena&func=view&catid=101&id=118329&Itemid=91

Contoh Pengiraan


Gambar di atas adalah snapshot daripada penyata yang dikeluarkan oleh KWSP. Dalam kes ini jumlah yang wajib dikenakan zakat ialah RM 21,418.62 dan 50% daripada dividen iaitu RM 328.70. Jadi jumlahnya ialah RM 21,747.32. Jadi jumlah zakat yang perlu dikeluarkan ialah 2.5% daripada jumlah tadi iaitu sebanyak RM 543.68.

Manakalah 50% lagi daripada dividen iaitu RM 328.70 perlulah dibersihkan dengan cara mendermakannya kepada fakir miskin.

Sekian,

Wassalam.

Jihad ekonomi suatu tuntutan

Jihad ekonomi suatu tuntutan

 
 
 
 
 
 
1 Votes

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya. (Hadis riwayat at-Thabrani)
Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk meningkatkan taraf ekonomi tetapi mesti dalam batasan syariah yang dibenarkan. Kedaifan ekonomi umat Islam sebahagiannya berpunca daripada kegagalan mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.
Harta bukanlah untuk tujuan keduniaan semata-mata tetapi juga untuk akhirat dan melaksanakan ibadat. Contohnya, untuk menunaikan ibadah haji umat Islam memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos dan perbelanjaan secukupnya.
Adalah penting untuk umat Islam menguasai semua peringkat kegiatan ekonomi seperti menjadi pembekal, pengusaha dan pemasar dalam sesebuah industri supaya dapat mengelak dimanipulasi atau ditindas oleh orang lain.
Penguasaan ekonomi membolehkan umat Islam menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya. Hal ini juga termasuk dalam konteks jihad yang dituntut agama.
Sikap mengabaikan keperluan ekonomi di dunia akan melemahkan kedudukan serta martabat orang Islam, pada masa sama memudahkan umat Islam dieksploitasi oleh orang lain.

Monday, August 13, 2012

RIWAYAT HIDUP SALAHUDIN AL AYUBI

 KUBU SALAHUDDIN


RIWAYAT HIDUP SALAHUDIN AL AYUBI 


Salahudin Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin –menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 1137M, di kota Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km dari kota Baghdad.

Beliau dari suku bangsa Kurdish dan semasa dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka bayi itu menjadi pahlawan terbilang.

Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau Assaddudin Shirkuwah seorang panglima perang.
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka suatu hari nanti dia akan merampas kembali bumi Palestin dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu.

Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana lebih sayangkan Aleppo. Sesungguhnya Allah perancang yang Maha Bijaksana seperti yang termaktub dalam Al Quran; Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu (Al-Baqarah:216).

Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan tiba-tiba berubah. Dia yakin Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk membebaskan Baitul Muqaddis dari penaklukan Kristian. Dia menjadi seorang yang zuhud dan tidak tergoda dengan kesenangan dunia.

Stanley Lane Poole mencatatkan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Jerusalem. Salahuddin pernah berkata, Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam.

Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin, jurutulis Sultan Salahudin mencatatkan, semangat Salahuddin sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya.Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila dia telah memulakan jihad melawan tentera salib dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Ketika perang berlansung dia lebih suka berpuasa. Semasa mengepung Acre dia demam namun tetap berpuasa. Doktor peribadinya berkata bahawa Salahuddin hanya berbuka dengan beberapa suap makanan sahaja kerena tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis Hajatnya tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Israk Mikraj, Salahuddin telah memasuki Masjidil al Aqsa.

Dalam catatan Bahauddin menyatakan inilah hari kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan Allahhu Akbar dan Tiada tuhan melainkan Allah telah bergema ke angkasa.

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Dia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat dari atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan.

Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Lane-Poole juga menuliskan dalam setiap peperangan Salahuddin sentiasa berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Dia sentiasa melakukan sembahyang berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Dia sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan.

Dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Tetapi dia tidak pernah membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta. Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku. Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kemangkatannya,
keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Quran para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga air matanya membasahi dagunya.

Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam satu peperangan tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah mereka menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan.

Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat. Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah yang lain. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi ini sehingga ajalku sampai.

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat resam mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurdish. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Quran dia juga banyak menghafal syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.

Kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi ialah mengalahkan tentera Salib pada tahun 1171. Baginda memerintah selama 22 tahun telah membina kubu pertahanan dikenali sebagai al-Qalaah (Citadel) yang mana melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh. Selepas beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria, pewaris-pewarisnya telah memerintah Mesir sehingga tahun 1250.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Pada keesokan harinya mayat-mayat orang Islam bertimbun setinggi paras lutut di sepanjang jalan di Jerusalem.

Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem , malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.

Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan Salahudin ialah kepada musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari England. Ketika peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu Sultan Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter. Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya ditandatangani perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga orang-orang Eropah berasa takjub bagaimana agama Islam boleh melahirkan seorang pahlawan yang baik seperti Salahudin Al Ayubi.

Sebelum meninggal dunia Sultan Salahudin Al Ayubi berpesan kepada anak-anaknya; "Jangan kamu menumpahkan darah, kerana apabila darah telah terpercik tidak ada yang tertidur."

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.

Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas jatuh sakit, dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang warak telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya membaca al Quran. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Quran. Dalam masa ini Salahuddin selalu pengsan.

Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, Memang benar tidak ada Tuhan selain Allah. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali 1 dinar 47 dirham. Harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk belanja pengkebumiannya. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya

Cara-cara untuk berjihad

Cara-cara untuk berjihad

Cara-cara untuk berjihad

- Korbankan sebahagian masa, harta dan keperluan diri untuk kepentingan Islam dan umat Islam
- Memikirkan bersungguh-sungguh akan penyelesaian untuk setiap masalah yang dihadapi umat Islam
- Menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang mereka dari melakukan kejahatan
- Menyangkal mereka yang membelakangkan agama Allah iaitu memutuskan hubungan dengan mereka yang memusuhi Allah dan rasulNya
- Menjadi tentera Allah iaitu dengan menyerahkan segala jiwa dan harta untuk agama Allah swt
- Menegakkan keadilan, memperbaiki kehidupan manusia, membantu orang yang dizalimi dan menyekat tindakan orang yang zalim walau apa sekali kedudukan dan kuasanya

Sekiranya tidak mampu untuk berbuat seperti di atas, maka hendaklah menyayangi para mujahid sepenuh hati dan sentiasa memberi kata semangat dan dorongan setiap kali bersua dengan mereka."

- Himpunan Risalah Hasan Al-Banna]

Friday, July 13, 2012

CARA JIMAT SERVIS KERETA

CARA JIMAT & JAGA KERETA ANDA

Ramai orang tanya saya bagaimana nak berjimat, ok mula-mula saya cerita pasal kereta, lain kali bab lain seperti rumah, pelaburan, insuran, makanan dan lain-lain.Sekarang kereta bukan  lagi barangan mewah, tetapi satu keperluan harian. Bagaimana untuk berjimat :

1. Beli kereta ikut kemampuan, bukan untuk bergaya. Utamakan kualiti kereta, tidak semestinya kereta baru baik kualitinya.

2. Beli kereta secondhand yang baik, cari harga yang murah  untuk kereta berkualiti.

3. Digalak pakai kereta buatan Jepun seperti Honda, Toyota atau Nissan atau kereta  buatan Malaysia. Tapi jangan beli Tiara atau Savvy. Perdana pun tidak digalakkan beli kerana banyak masalah gear. Kalau anda minat nak beli kereta Eropah, pastikan dapat harga paling murah dan buat semakan mengenai alatgantinya.

4. Seboleh-boleh beli kereta secara tunai, elakkan berhutang. Kalau berhutang, ikut kemampuan. Kumpul duit, banyak kereta berjenama tapi murah. Tahun lepas saya beli sebuah kereta RM 5,500. sahaja. Kalau tak pun, boleh buat pinjaman peribadi untuk beli kereta tunai. Kebiasannnya kereta yang tidak boleh loan, akan jatuh harga.

5. Cari peluang kereta murah dengan masuk lelong kastam atau lelong bank dan kadang-kadang ada syarikat swasta buat lelong. Pastikan anda ada ilmu yang cukup sebelum beli kereta lelong. Tahun 2004 saya beli kereta lelong kastam RM 9 ribu, kereta saya pakai sampai sekarang.

6. Pastikan anda mengetahui kedai bengkel yang berpatutan dan buat kerja bagus. Tak semestinya kedai kawan, belum tentu kedai kawan buat kerja bagus. Perlu kenal bengkel yang baiki enjin, kedai aksesori, kedai ekzos, kedai ketuk dan cat, kedai aircond dan kedai servis radiotor, tak semestinya kedai Melayu. Harap jangan cari kedai Melayu kalau cari kedai aircond dan aksesori, buat kurang bermutu dan lambat, sila cari kedai Cina.

7. Anda perlu tahu kedai alat ganti baru (di JB ada banyak)dan terpakai(seperti di Tangki Air Tun Razak, Maunt Austin, Desa Cemerlang, Larkin dll)

8. Servis kereta setiap 5,000 km, beli barang sendiri seperti minyak hitam dan oil filter sahaja. Perkara lain seperti plak, air filter dll tak perlu kecuali rosak sahaja. Plak boleh tahan setahun lebih. Kalau beli sendiri minyak hitam jenis Castrol RM 38, oil filter RM 7 dan upah RM 10, jumlah RM 55 sahaja. Kalau mahu minyak lagi murah ada yang harga RM 26, saya pun pakai, kereta biasa saja jalan jauh. Kalau anda hantar ke kedai tanpa barang berkenaan, anda mungkin dikenakan sehingga RM 100.

9. Anda perlu tahu serba sedikit untuk membaiki perkara kecil seperti memasang bateri kereta,kalau di kedai upahnya RM 10. Kalau bateri rosak, beli di kedai Desa Rahmat Tampoi RM 115 jenis NS 60, kemudian pasang sendiri. Harga spana cuma RM 2 boleh guna sampai bila-bila. Kalau anda rosak bateri pergi ke kedai, dikenakan dalam harga RM 160- 180 siap pasang.

10. Kalau kereta anda rosak, pastikan apa  yang rosak. Beli barang sendiri sama ada barang baru atau terpakai. Contohnya water pump Accord RM 60, upah RM 70, jumlah RM 130. Kalau anda serah diri pada bengkel, anda dikenakan bayaran lebih RM 200.

11. Waktu pergi kerja sebelah pagi tidak semestinya buka aircond, minyak akan  lebih. Begitu juga kalau waktu malam, kalau tak perlu, tak perlu buka aircond.

12. Sila rancang perjalanan anda, elakkan dari kesesakan jalanraya, akan banyak membazir minyak.

13. Jangan beli kereta cc kecil kalau anda biasa jalan jauh, elok cari kereta cc sederhana seperti 1.6 dan 1.8 kalau anda ada masa jalan jauh, ada masa jalan dekat. Kereta cc besar, jalan jauh lebih menjimatkan dan pemanduan yang mantap.

14. Jika kereta anda mengalami kerosakan, sila tanya tauke bengkel, kos sebenar yang perlu dibayar sebelum diperbaiki. Anda perlu mencatat alat yang perlu diganti dan anda perlu bersetuju sebelum kerja-kerja dilakukan. Jika tidak puashati, sila pergi ke kedai lain. (kalau kereta anda tidak boleh bergerak, sila panggil kereta tunda, kosnya cuma RM 30 kalau berdekatan). Kalau tauke kedai mengganti barangan kereta anda tanpa izin, anda boleh buat bantahan kepada tauke. Sekiranya perlu, anda boleh buat laporan kepada talian bebas tol Kementerian Perdagangan.

15. Jangan panaskan kereta anda kalau kereta anda guna enjin injection, selepas start, boleh terus jalan. Kalau enjin guna karburator, panaskan jangan lebih dari 2-3 minit, memanas enjin terlalu lama membazir minyak.

16. Kadang-kadang ada kereta semakin lama, ada  juga kereta yang semakin kuat minyak, sila servis atau tukar jarum karburator. Kereta Peugeot saja tukar karburator Nissan.

17. Kalau kereta anda injection, kuat minyak, sila buat pelarasan semula enjin (Singh Auto Batu Pahat pakar buat kerja ini). Accord saya boleh pergi sejauh 320 km dengan RM 50 setelah buat pelarasan. Sebelum  itu minyak kuat.

18. Gunakan kad diskaun seperti kad mesra petronas.

19.Jangan basuh kereta di kedai, basuh sendiri. Katakan sebulan 5 kali anda basuh kereta RM 10 sekali basuh, jumlahnya RM 50. Sila beli syampoo kereta harga RM 2 (tahan 3 bulan), span penggosok RM 2, air yang anda gunakan dalam 5 kali basuh tidak sampai RM 1. Kalau anda duduk di rumah flaf, sila cari paip di bawah, saya duduk di kondo pun boleh basuh sendiri.

20. Bateri kereta jangan buang atau jangan beri pada orang bengkel. Bateri yang dah tak guna boleh laku dengan harga RM 10-15, dulu sampai RM 20.

21. Jangan mudah percaya dengan alat kononnya boleh menjimatkan minyak, mungkin boleh merosakkan sistem enjin anda.

22. Servis aircond anda setiap 2 tahun, aircond anda akan tahan  lama. Cari kedai yang pakar servis aircond, biar harga mahal sikit. Saya servis aircond di Tampoi, RM 90 tapi aircond saya tak pernah rosak sejak beli dan sentiasa sejuk. Jangan sampai aircond anda rosak, boleh mengakibatkan anda rugi wang sehingga RM 1000 kalau aircond anda rosak terus.

23. Kalau gas aircond anda habis, jangan buka aircond, boleh merosakkan alat-alat lain.

24. Jangan pakai ekzos besar yang bunyi bising, kuat minyak.

25. Waktu anda servis, pastikan ada catatan kilometer untuk servis seterusnya. Kalau ada minyak lebih, sila simpan, 4 kali servis, boleh dapat lebihan minyak untuk sekali servis minyak percuma.

26. Pilih insuran yang murah untuk perlindungan insuran yang berpatutan. Jangan meletakkan nilai kereta anda terlalu tinggi kalau beli insuran, ikut nilai pasaran, ini akan merugikan bayaran untuk  insuran anda. Kalau boleh, buat sendiri insuran kalau anda ada geran (sebab itulah untung beli kereta tunai, ada geran). Kalau geran anda pada bank, buatlah apa-apa alasan supaya anda dapat geran, lepas tu jangan pulang pada bank.

27.Jangan bawa banyak muatan yang tak perlu dalam bonek kereta. Kereta jadi berat. Jangan jadikan kereta anda store, minyak banyak.