GOOD LIFE

Total Pageviews

TRYING TO LEARN ABOUT BLOG

Followers

Popular Posts

Thursday, February 2, 2012

REZEKI YANG TERGANTUNG


Assalamualaikum warahmatullah…

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada
Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku
bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat
berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq
terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh
dan kesekalian dari kita.

Bismillahir Rahmanir Raheem…

Saya sebenarnya memang cukup suka untuk bercakap tentang rezeki. Kerana
rezeki itu bagi saya sesuatu yang subjektif. Ia boleh jadi macam².
Segalanya terpulang kepada tuan punya diri untuk menilai ianya sebuah
rezeki atau satu lagi mala petaka yang menimpa diri. Tetapi, bagi saya
semua yang berlaku pada diri ini adalah rezeki belaka. Meskipun ianya
sebuah mala petaka.

Kebetulan, baru² dalam salah sebuah egroup yang saya sertai, ada seseorang
yang bertanya berkenaan 'rezeki tergantung'. "Ada sesiapa pernah alami apa
yang saya alami?" si penulis emel memulakan notanya. "Kenapa setiap kali
rezeki itu ditunjukkan Allah tetapi tidak sampai atau tidak berjaya menjadi
hak saya..." sambungnya lagi. Saya dapat membaca kekecewaan dalam
tulisannya itu.

Si pengirim ingin memohon nasihat daripada teman² dalam group yang sama.
Oleh kerana saya bukanlah seorang yang layak untuk memberi nasihat,
walaupun ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan dengannya, lalu
saya mengambil keputusan untuk menulis artikel ini. Agar saya dapat
berkongsi dengan lebih ramai orang. Agar ianya sekadar berbentuk luahan
hati saya, bukan sebuah nasihat.

Jika berkata tentang rezeki, umumnya orang akan mengaitkan dengan wang atau
harta. Atau setidak²nya dengan cara untuk beroleh wang atau harta itu tadi
seperti pekerjaan atau peluang perniagaan. Namun secara peribadi, saya
merasakan kesemua perkara yang kita perolehi atau sedia miliki adalah
merupakan rezeki. Tangan, mata, mulut dan semua anggota badan bahkan udara
yang kita hela juga merupakan rezeki.

Jadi sebenarnya hidup kita ini dilimpahi dengan berbagai jenis rezeki.
Tetapi seperti mana yang saya sebutkan di awal tadi, ianya terpulang kepada
penakrifan individu itu sendiri. Jika orang menganggap udara bukan rezeki,
mungkin ia akan merasakan bahawa dirinya degitu sedikit beroleh rezeki
dalam hidupnya. Dan begitu juga sebaliknya. Jika ia yakin udara itu rezeki,
pasti dia mensyukuri kemewahan hidupnya.

Bukan setakat mata itu rezeki, bahkan kecacatan pada mata juga rezeki.
Contohnya, seorang lelaki yang cacat penglihatan yang saya kenali. Kerjanya
hanya menjual tisu dan pen. Pernah saya tanyakan kepadanya, adakah orang
membeli tisu atau pen darinya? Tidak pernahkah orang menipunya? Iyalah...
Mungkin diletakkan duit syiling 1 sen dan kemudian mengambil tisu atau pen
darinya...

Katanya, itulah rezekinya sebagai orang buta. Ramai orang yang bersimpati.
Memang ada yang menipu tetapi lebih ramai yang bersedekah. Katanya, ramai
yang meletakkan wang seringgit kemudian tidak meminta wang baki (harga tisu
sebungkus adalah 30 sen). "Kalau awak yang meniaga macam saya, tentu kena
terajang aje" usiknya. Begitu positif, dia menganggap kekurangannya sebagai
rezeki dirinya.

Abang Ramli memang cukup tabah. Kini bukan setakat tisu dan pen, dia juga
menjual reload untuk semua jenis perkhidmatan telefon pra-bayar. Dan
percaya atau tidak, kebanyakan orang kampung lebih suka membeli darinya
dari kedai² biasa. Dan percaya atau tidak juga, Abang Ramli punyai simpanan
puluhan ribu ringgit di dalam bank. Maka kecacatannya bukan mala petaka
sebaliknya suatu rahmat. Atau rezeki.

Dan jika disebut soal rezeki tergantung, tidak dapat tidak sudah pasti saya
akan teringatkan kisah ayah saya. Disebabkan perebutan harta oleh ibu
tirinya, ayah saya telah jadi anak terbuang. Hinggakan sekolah pun tidak
mampu ditamatkan. Untuk meneruskan hidup, ayah terpaksa melakukan berbagai²
jenis pekerjaan termasuklah menjadi nelayan.

Selepas berkahwin, hidup ayah masih tidak berubah. Ibu bercerita, mereka
pernah tinggal di lombong bijih hingga ayah ditimpa oleh runtuhan tanah.
Mereka pernah bekerja menoreh getah hingga paha ibu rabak dihiris oleh
pisau toreh. Ayah juga pernah menjual aiskrim yang bila kala hujan terpaksa
menanggung rugi. Hinggalah suatu hari motorsikal ayah dicuri rakan sendiri.

Bukan setakat itu, ayah pernah bekerja menjadi buruh di pelabuhan sehingga
dinaikkan pangkat tetapi akhirnya dikhianati teman sendiri hinggakan ayah
berhenti kerja. Dan bermacam² lagi dugaan yang menimpa ayah dalam
meneruskan hidup dan membesarkan kami enam beradik. Tetapi, ayah tetap
tidak pernah mengalah dan tidak pernah menganggap rezekinya tergantung apa
lagi ditarik balik.

Sebaliknya, ayah menganggap kami anak² sebagai rezekinya. Kini, ayah tidak
perlu bekerja lagi. Makannya, ada yang menanggung. Pakaiannya, setiap hari
raya, berpasang² akan sampai kepadanya. Ayah hanya bertani di kebun sebagai
memenuhi minatnya. Tidak lagi perlu risaukan tentang bil utiliti, bulanan
kereta, duit dapur dan sebagainya. Pada usia 66 tahun, fikiran ayah saya
rasakan sudah menjadi tenang.

Malahan, ayah dikurniakan rezeki untuk melihat keenam² anaknya mendirikan
rumah tangga. Lebih dari itu, ayah juga berpeluang melihat 15 orang cucunya
yang insyaAllah bakal menjadi 18 orang kesemuanya pada penghujung tahun ini
atau selewat²nya awal tahun hadapan. Dan jika diizinkan Allah, mungkin ayah
berpeluang mendukung cicitnya sendiri nanti, insyaAllah.

Itu semuanya rezeki. Bukan semua orang mampu milikinya. Mungkin ayah dan
ibu tidak dikurniakan dengan rezeki harta dan wang yang melimpah ruah
tetapi mereka dikurniakan dengan sebuah keluarga yang bahagia. Dan
percayalah. Sesungguhnya keluarga itulah rezeki yang paling hebat dan
paling sempurna. Sayangnya, pada kebanyakan masa, itulah rezeki yang paling
tidak kita hargai.

Kita tidak mampu untuk miliki segalanya. Jika mahukan rezeki dalam bentuk
keluarga, maka besar kemungkinan kita terpaksa lepaskan rezeki dalam bentuk
kebendaan. Begitu jugalah sebaliknya. Jika inginkan harta, mungkin kita
terpaksa korbankan keluarga. Mungkin kerana itu ramai golongan profesional
yang terpaksa membujang atau tidak memiliki anak demi memantapkan kerjaya
mereka.

Kita tidak pernah tahu apa yang terbaik untuk kita. Allah jualah yang lebih
mengetahui. Maka kerana itu, wajib untuk kita pasrah dengan segala
ketentuanNya. Kadangkala kita melihat suatu perkara itu cukup sempurna
untuk kita. Tetapi Allah mungkin ada perancangan lain untuk kita maka
kerana itu Allah tidak menjadikan ianya milik kita. Demi semata² untuk
kebaikan kita juga.

Kemiskinan bukan penghinaan. Nabi saw pernah berkata kepada kaum Muhajirin
yang miskin bahawa mereka akan memasuki syurga awal setengah hari dari
orang yang kaya. Sedangkan setengah hari akhirat bersamaan dengan 500 tahun
dunia. Maka belum tentu kesusahan yang Allah kurniakan kepada kita hari ini
sebagai siksaan sebaliknya ia mungkin satu cara Allah menaikkan darjat
kita.

Bekerja dan berusaha itu wajib. Berputus asa itu haram. Berdoa itu baik dan
mengeluh kepada kesusahan itu adalah perbuatan syaitan. Allah tidak akan
menurunkan ujian kepada seseorang itu melainkan yang sesuai dengan
ketahanan dirinya. Seandainya kira rasakan ujian terhadap kita adalah
berat, maka mungkin sebenarnya Allah memuji ketahanan metal dan kekuatan
iman kita.

Dan jika kita berasa seperti seolah² rezeki kita tidak tergantung atau
tidak sampai², mungkin sebenarnya Allah telah menyediakan sesuatu yang jauh
lebih baik untuk kita. Jika bukan di sini, mungkin akan nanti di sana.....

Sekian buat kali. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik
adalah akibat kejahilan saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullah…

-Abu Naqibah-

Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di AbuNaqibah@...
atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/