Asas-asas yang tetap
Asas yang tetap ialah perkara yang pokok
dan asas yang telah ditetapkan oleh syarak melalui al-Quran dan
as-Sunnah yang semestinya dipatuhi oleh umat Islam sepanjang masa dan
tempat. Ia dikenali sebagai “Ideologi ekonomi Islam” (Mazhab Iqtisodi
al-Islami). Di antara perkara yang tetap yang terkandung dalam al-Quran
dan as-Sunnah mengenai ekonomi ialah :
1.Tuhan ialah Pemilik.
Segala harta perbendaharaan di semesta
alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya diberi amanah untuk
memelihara dan menjaganya.
Firman Allah yang bermaksud : Dan hanya kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi” (al-Najm 31)
“Dan nafkahlah sebahagian dari harta kamu yang Allah telah jadikan kamu menguasainya” ( al-Hadid 7)
“Dialah jua yang memiliki segala yang
ada di langit dan di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga
yang ada di bawah tanah basah di bawah perut bumi” (Taha 6)
Kefahaman manusia mengenai konsep harta
yang diamanah oleh Allah untuk mereka menguruskannya merupakan aspek
yang terpenting yang menjadikan manusia perlu sentiasa beriltizam dengan
manhaj Ilahi. Apabila konsep “Allah ialah Pemilik” sudah tersemat dalam
hatinya, maka akan lahir golongan yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan
kerana kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh Allah. Ia juga merasa
mulia kerana sebahagian daripada harta kekayaan Tuhan telah diserahkan
kepadanya untuk diuruskan. Perlu diingatkan bahawa kesemua harta ,
tubuh, badan, jasad dan ruh adalah ciptaan Allah dan hak miliknya. Allah
bebas memberi dan menarik segala harta jika Ia kehendaki. Berapa ramai
orang yang miskin telah menjadi kaya dan orang yang kaya menjadi miskin.
Kesemua ini adalah tertakluk kepada kekuasaan dan kehendak Allah yang
Maha Perkasa. Manusia hanya mempunyai tekad, usaha dan azam dalam
mencari perkara yang ingin diperolehi dalam hidpnya. Dengan usaha dan
tekad yang gigih manusia akan dapat sesuatu hasil dari harta kekayaan
Tuhan. Walaupun manusia mengatakan bahawa harta yang diperolehi hasil
titik peluhnya tetapi sebenarnya adalah pemberian dari Tuhan untuk
menguji samada manusia itu bersyukur atau tidak. Melalui keazaman dan
tekad manusia menjuruskan segala usaha untuk menggunakan tubuh badan dan
pancaindera yang merupakan ciptaan Tuhan dan harta Allah untuk mencari
kekayaan di dunia ini. Oleh itu segala harta kekayaan yang dimiliki oleh
manusia adalah milik Allah yang diamanahkan untuk kita mengurus,
memelihara dan berbelanja dengan sederhana sambil bersyukur. Di hari
akhirat Allah akan menanyakan setiap hambaNya mengenai harta kekayaan,
dari mana dia memperolehi dan kemana dibelanjakannya.
2.Jaminan harta kepada setiap individu dan masyarakat.
Firman Allah yang bermaksud “Tahukah
kamu orang yang mendustan agama itulah orang yang mengherdik anak yatim
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (al-Maa’un 1-3)
“Dan orang-orang yang dalam hartanya
tersedia sebahagian tertentu bagi orang yang miskin yang meminta dan
orang yang tidak mempunyai apa-apa yang tidak mahu meminta” (al-Maarij
24-25)
3.Menegakkan keadilan sosial dan perseimbangan ekonomi di antara anggota masyarakat.
Ekonomi Islam berteraskan keadilan dan
seimbang, tidak ada jurang yang begitu jauh antara oarng miskin dengan
orang kaya. Persaudaraan yang dipupuk oleh Islam akan berhasil sekiranya
perseimbangan dan agihan kekayaan adalah saksama dikalangan masyarakat.
Pendapatan dan pengagihan yang ketidaksamaan yang berleluasan sudah
tentu akan merosakkan persaudaraan umat Islam. Islam amat menekankan
keadilan sosial dan perseimbangan ekonomi supaya setiap individu dijamin
dapat menikmati taraf hidup yang sempurna sejajar dengan manusia
sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah yang bermaksud “Supaya
harta itu jangan hanya beredar diantara orang-orang kaya sahaja
dikalangan kamu” (al-Hasyr 7)
Ayat ini menerangkan bahawa tidak harus
harta kekayaan itu hanyaa berlegar dalam satu bilangan yang kecil tanpa
kelompok yang lain.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Ambillah harta dari orang kaya dikalangan kamu dan diberikan kepada
orang-orang miskin.”(1)
Adalah menjadi tanggungjawab ketua
negara bagi menjamin setiap individu mendapat taraf hidup yang sempurna,
memberi bantuan kepada yang kurang mampu.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Tanggungan yang ditinggalkan oleh orang yang telah pergi akan menjadi
tanggungjawab kita.”(2)
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang
yang dijadikan oleh Tuhan pentadbir tentang hal ehwal orang-orang Islam,
tetapi dia terus tidak mengambil peduli terhadap keperluan mereka dan
kemiskinan mereka, Tuhan juga tidak akan memperdulikan keperluan dan
kemiskinannya.”(3)
Baginda juga pernah bersabda: “Pemerintahan negara menjadi pembantu orang yang tidak ada pembantunya.”(4)
Sebuah masyarakat Islam ialah hidup
dalam keadaan bantu-membantu dalam sistem ekonomi dan menjamin taraf
hidup yang sempurna bagi semua anggota masyarakat. Sabda Rasulullah saw
yang bermaksud: “Orang yang makan hingga kekenyangan sedangkan jiran
tetangganya kelaparan bukanlah merupakan seorang Islam yang sejati.”(5)
Malah Islam menganggap manusia sebagai
satu keluarga, hidup dalam keadaan tolong menolong antara yang kaya
dengan yang miskin supaya tidak berlaku jurang yang jauh antara
keduanya. Islam tidak membezakan antara yang kaya dengan yang miskin,
yang tinggi dengan yang rendah, atau yang putih dengan yang hitam.
Mereka adalah sama di hadapan Tuhan dan di hadapan Hukum yang diturunkan
olehNya. Tidak harus ada diskriminasi dari segi kaum, bangsa, warna
kulit atau kedudukan. Kriteria yang tunggal bagi menilai diri manusia
ialah watak peribadi yang mulia dan sumbangannya terhadap Islam dan
kemanusiaan.
Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya
Allah tidak akan melihat muka kamu atau kekayaan kamu, Dia akan melihat
hatimu dan perbuatanmu.”(6)
“Orang yang paling mulia antara kamu adalah yang berbudi pekerti terbaik.”(7)
Saidina Umar sangat prihatin dalam
persoalan keadilan pengagihan harta, setiap orang mempunyai hak yang
sama dalam kekayaan masyarakat dan beliau sentiasa memastikan setiap
individu masyarakat menerima bahagiannya. Pernah satu ketika beliau
telah keluar malam dan didapati satu keluarga dalam keadaan kelaparan
lantas beliau menanggung makanan dan diberikan kepada keluarga tersebut.
Saidina Ali telah menyebutkan bahawa
“Tuhan telah mewajibkan terhadap orang yang kaya untuk memberi kepada
mereka yang miskin apa yang mencukupi untuk mereka. Jika yang miskin
kelaparan atau bertelanjang tanpa pakaian atau dalam keadaan kesusahan,
ini adalah kerana yang kaya telah merampas hak mereka, dan memang
layaklah jika Tuhan menuduh mereka yang bertanggungjawab terhadap
perampasan ini dan menghukumi mereka.”
Para Ulamak telah hampir sebulat suara
berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat Islam
pada keseluruhannya, terutama sekali tanggungjawab yang kaya khususnya
untuk menjaga keperluan asas bagi mereka yang miskin, dan jka yang
berada tidak memenuhi tanggungjawab mereka meskipun mereka mampu berbuat
demikian, negara haruslah memaksa mereka.
Oleh itu, pemerintah harus memastikan
keadilan memberi hak kekayaan di kalangan anggota masyarakat dan adalah
tanggungjawab orang kaya menolong orang yang miskin dengan bersedekah
atau memberi zakat dan lain-lain lagi.
4.Menghormati harta-harta yang dimiliki oleh pemiliknya.
Islam mengharamkan mencuri, merompak
harta orang lain tanpa ada keiizinan syarak, malah Islam menyuruh kita
menghormati dan memelihara harta milik orang lain. Firman Allah
yang bermaksud : “Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka
kerjakan dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka
usahakan.” (an-Nisa’ 32)
“Laki-laki yang mencuri dan
perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua sebagai
balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari
Allah.” (al-Maidah 38)
Rasulullah bersabda yang bermaksud
: “Setiap muslim atas muslim yang lain haram ke atasnya darah,
harta dan maruah.”(8)
Sabda Rasulullah yang bermaksud “Sesiapa yang terbunuh bagi mempertahankan hartanya adalah syahid”. (9)
5.Kebebasan yang terikat dalam memiliki harta.
Seseorang itu bebas memiliki harta
sebanyak mana yang mungkin tetapi hendaklah dengan cara yang dibenarkan
oleh syariat Islam, ia tidak boleh memiliki harta dengan cara riba,
peras ugut dan memakan harta anak yatim dan mengambil secara batil.
Firman Allah yang bermaksud “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta
sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil”
(al-Baqarah 188)
“Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (al-Baqarah 275)
6. Memakmurkan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh.
Firman Allah yang bermaksud “Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurNya” (Hud 61)
“Dan Dia menundukkan untuk kamu apa yang
ada di langit dan apa yang ada di bumi semua (sebagai rahmat)
daripadaNya” (al-Jaatsiyah 13)
“Dan carilah kurnian Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung” (al-Jumua’h 10)
7. Melarang dari membazir dan menyeru bersedekah.
Segala harta yang dimiliki hendaklah
dibelanjakan secara sederhana, tidak terlalu bakhil dan tidak terlalu
boros. Ia sentiasa membelanjakan harta untuk jalan Allah. Firman Allah
yang bermaksud “Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah
saudara-saudara syaitan” (al-Isra’ 27)
“Dan janganlah kamu serahkan kepada
orang-orang yang belum sempurna akalnya harta mereka yang ada dalam
kekuasaan kamu yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan.” ( an-Nisa’
5)
No comments:
Post a Comment